Teknologi motosikal Motosikal

  • Klac automatik emparan - Klac yang akan beroperasi secara automatik hasil daripada daya emparan yang dihasilkan oleh enjin. Sekiranya kelajuan enjin melebihi kelajuan melahu, daya emparan yang terhasil akan meningkat, menyebabkan pemberat emparan mencangkuk pada gigi klac emparan dan kuasa dapat dipindahkan ke sistem transmisi. Teknologi ini digunakan pada motosikal kapcai dan skuter.
  • Transmisi manual berjujukan - Sistem transmisi sebegini membolehkan penunggang menukar gear dengan menggerakkan tuas gear ke atas atau ke bawah tanpa masalah tersalah gear serta menjimatkan ruang.
  • Transmisi automatik CVT - Sistem transmisi yang menggunakan tali sawat, takal boleh laras serta beberapa biji pengguling pemberat. Pada kelajuan rendah, kurang daya emparan terhasil, maka takal pertama mempunyai diameter yang kecil dan memberikan nisbah gear rendah. Apabila kelajuan enjin meningkat, daya emparan pada pengguling pemberat meningkat, menyebabkanpengguling pemberat tertolak keluar dan menolak plat takal pertama, menyebabkan diameter takal pertama menjadi besar, memberikan nisbah gear tinggi.
  • Enjin Genesis - Merupakan enjin yang direkabentuk oleh Yamaha bagi membolehkan tapak roda bagi motosikal berkuasa tinggi keluarannya direndahkan agar pengendalian menjadi lebih baik. Dalam enjin Genesis, aci engkol serta aci kekotak gear disusun membentuk segitiga menjadikan enjin lebih padat, berbeza dengan kebanyakan pengeluar motosikal yang menggunakan susunan tradisional berbentuk lurus.
  • Injap kuasa 2 lejang - Injap kuasa berfungsi mengubah saiz rongga ekzos bagi enjin 2 lejang bagi membolehkan kuasa ditingkatkan pada kelajuan enjin tinggi serta meningkatkan kilasan serta mengurangkan penggunaan minyak pada kelajuan rendah.
  • Pam autolube - Pam autolube membolehkan minyak pelincir 2 lejang dicampurkan bersama petrol dengan tepat. Sebelum pam autolube dicipta, pengguna motosikal 2 lejang perlu mencampurkan sendiri minyak pelincir 2 lejang di dalam tangki minyak, menyebabkan campuran pelincir yang kurang tepat. Akibatnya, enjin menjadi kejang jika kekurangan pelincir serta enjin menghasilkan asap tebal berlebihan serta mengotorkan palam pencucuh jika berlebihan pelincir.